Pages

Thursday 3 March 2016

Aquascape: Penjagaan akuarium

Moon platy dan Bard fish

Assalamualaikum wbt.

Sebelum penulis membicarakan topik hari ini, suka penulis nak kemaskini mengenai kualiti air yang menjadi kerisauan penulis sejak pagi semalam.

Sebaik sahaja penulis pulang dari tempat kerja, penulis terus ke bilik dimana letaknya akuarium penulis. Alhamdulillah, nampak ikan-ikan kesemuanya sihat dan cergas. Ini menandakan kualiti air agak baik. Mungkin semalam hari yang pertama dan belum ada masalah.




Ikan nampak sihat dan bergerak aktif

Untuk penjagaan akuarium penulis yang masih baru ini, penulis perlu memahami dahulu kitaran biologi dalam sains akuarium dengan mencari maklumat penting, bertanya kepada mereka-mereka yang lebih arif, dan alami sendiri pengalaman punyai akuarium. Jadi, tapak ujian penulis pada akuarium yang baru ini adalah untuk penulis mendapatkan pengalaman sendiri supaya lebih memahami eco-system air sebelum pergi lebih jauh dalam hobi aquascape ini.

Yang menjadi kerisauan penulis pada tiga atau empat hari akan datang di mana tahap amonia di dalam air akan meningkat hasil dari bahan buangan yang dihasilkan oleh ikan-ikan. Amonia juga boleh terhasil dari sisa makanan ikan yang tidak dimakan oleh ikan.

Menurut maklumat yang penulis baca dari laman-laman web yang berkongsi maklumat mengenai kitaran sistem ekologi dalam air di mana peningkatan amonia di dalam tangki akan membahayakan ikan-ikan di mana ikan boleh jadi stress dan kalau tidak bernasib baik, ikan boleh mati.

Bakteria baik didalam tangki dapat membantu mengurangkan tahap amonia di dalam air dengan menukar amonia menjadi nitrit. Kemudian, nitrit juga akan ditukarkan kepada nitrat dengan bantuan bakteria baik tadi. Nitrat ini pula akan digunakan oleh tumbuhan akuatik sebagai baja untuk proses tumbesaran. Dengan bantuan cahaya matahari atau lampu dan gas karbon dioksida (yang terhasil dari proses pereputan tumbuhan akuatik atau ikan yang mati) proses fotosintesis (proses semulajadi tumbuhan menghasilkan makanan) akan berlaku dan dengan proses ini akan menghasilkan oksigen dimana ianya diperlukan oleh hidupan air seperti ikan-ikan untuk hidup.

Pembiakan bakteria biasanya mengambil masa selama 4 minggu sebelum akuarium tersebut boleh dikatakan telah matang.

Berbalik kepada tangki akuarium penulis yang baru ni, ia agak mustahil dalam tangki penulis ada bakteria baik kerana proses pembiakan bakteria mungkin masih belum bermula.

Jadi, bagaimanakah penulis ingin mengawal kandungan amonia, nitrit, dan nitrat di dalam tangki akuarium penulis pada tahap tidak membahayakan hidupan air? Bakteria baik belum ada. Bakteria jahat makin bertambah.

Untuk menyelesaikan masalah ini, pada pengamatan penulis, air di dalam tangki perlu dikurangkan dan ditambah semula dengan air baru supaya kadar amonia dapat dikurangkan. Berapa banyak air dan berapa kerapkah proses pengurangan dan penambahan air ini perlu dibuat?

Pada peringkat awal untuk tangki akuarium yang baru, proses pengurangan air sebanyak 30% dari jumlah air dalam tangki dan penambahan semula air baru sebanyak 30% perlu dibuat seminggu sekali selama lebih kurang 4 minggu. Jika akuarium kita sudah matang maka proses pengurangan dan penambahan air ini boleh dikurangkan kepada sekali dalam masa sebulan. Ini adalah kerana walaupun kandungan nitrat kurang bahaya kepada hidupan air tetapi jika ianya terlalu lama berada didalam akuarium, ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada ikan. Jadi, proses salin air ini adalah perlu untuk mengimbangi kadar nitrat dalam akuarium.

Secara ringkasnya dalam penjagaan akuarium (ini adalah kefahaman penulis sahaja)..

Bahan buangan ikan, ikan dan tumbuhan mati, sisa makanan ikan --> amonia terhasil --> diuraikan jadi nitrit dengan bantuan bakteria --> diuraikan lagi jadi nitrat dengan bantuan bakteria --> salin air 30% sebulan sekali.

Sekarang ini penulis serba-sedikit telah memahami hubungkait antara amonia, nitrit, nitrat, bakteria, proses fotosintesis, dan kenapa perlu salin air akuarium.

Penulis menjadikan buku ini (Mudahnya membuat akuarium) sebagai salah satu rujukan untuk penulis mengenali dengan lebih lanjut tentang hobi baru penulis. Mudah dan senang difahami. Nama tajuk buku pun sudah memadai dengan isi kandungannya.

Sekian dari penulis. Jika ada yang tak kena dengan hasil penulisan penulis, minta ditegur, dikomen dalam ruangan komen dibawah sebab penulis masih belajar tentang hobi ini.

No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH diucapkan atas komen anda. Setiap komen akan dibalas dengan kadar segera. Klik pada checkbox "Notify me" untuk baca balasan dari saya atau komen dari pengunjung lain. Sila berkunjung lagi.